fb fb fb fb fb

Sebuah PPS dibuka susulan banjir kilat di Bandar Baharu dan Yan

BANDAR BAHARU, 3 Februari - Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kedah susulan banjir kilat di daerah Bandar Baharu dan Yan, petang tadi.

PPS terbabit dibuka di Sekolah Kebangsaan Relau Bandar Baharu menempatkan tiga keluarga.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan Abdul Rahim Khairuddin menerusi kenyataan memaklumkan, tujuh sekeluarga dari Kampung Kilang Batu dan tujuh penduduk dari Kampung 300 Kaki ditempatkan di PPS berkenaan.

Secara keseluruhan, banjir di daerah itu menjejaskan lima buah kampung melibatkan tiga mukim iaitu Mukim Relau, Mukim Serdang dan Sungai Kechil Ilir.

Kampung lain yang terlibat ialah Kampung Paya Semambung, Kampung Kilang Batu, Kampung Tengah dan Kampung Balai Lama.


(Hujan lebat melebihi dua jam bermula pukul 3.00 petang menyebabkan beberapa kawasan
dinaiki air di daerah Bandar Baharu dan Yan)

Hujan lebat melebihi dua jam bermula pukul 3.00 petang menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

Setakat pukul 6 petang, paras air sungai berada pada tahap waspada.

Turut terjejas, jalan di Mukim Relau yang menghubungkan Klinik Desa Relau.

Di daerah Yan pula, beberapa rumah dan jalan raya di Kampung Ruat turut dinaiki air.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan Muhammad Zul Izzi Zulkifli memaklumkan, paras air sungai masih terkawal.

Media Baharu