fb fb fb fb fb

Dua penjenayah terlibat dalam rompakan premis ditahan

KEMAMAN, 3 Februari- Polis Kemaman berjaya menahan dua penjenayah dipercayai terlibat dalam kegiatan merompak premis dengan bersenjata yang aktif di Bandar Chukai Kemaman, sejak Oktober lalu.

Kedua-dua suspek itu berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun dan ditahan kira-kira pukul 4.00 pagi di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah bengkel dan sebuah rumah di daerah itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, maklumat mengenai suspek tersebut diperoleh menerusi bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan orang awam ketika berada di sekitar premis berkenaan.

Menurut Hanyan Ramlan, dalam kejadian pukul 1.45 pagi itu, mangsa yang merupakan pemilik kedai serbaneka sedang duduk di hadapan kedai bersama dua rakannya sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal.

Kedua-dua suspek terus meluru ke arah mangsa dan rakannya sambil mengacukan senjata menyerupai pistol dan sebilah pisau sebelum melarikan wang serta barangan peribadi mangsa.

"Dalam kejadian ini kerugian berjumlah hampir RM5,000, namun tiada kecederaan yang dilaporkan. Kejayaan pasukan petugas IPD berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh satu jam setengah, selepas ianya berlaku," katanya kepada pemberita di sini.

Hanya Ramlan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu terlibat dalam jenayah rogol dan dadah.

Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek pihaknya berjaya menyelesaikan dua lagi kes sama di bandar itu.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis dan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

(Hanyan Ramlan)

Media Baharu