fb fb fb fb fb

Sebuah kilang kayu di Bukit Selambau terbakar

Foto FB JBPM

BUKIT SELAMBAU, 4 Disember- Sebuah kilang kayu di Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah dilaporkan terbakar sekitar pukul 7.57 malam tadi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Negeri Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin dalam satu kenyataan, kebakaran membabitkan tiga buah gudang penyimpanan barang terpakai yang terdiri daripada logam tembaga, wayar dan bateri berkeluasan 120x120 kaki persegi setiap gudang.

"Kebakaran berjaya dikawal anggota JBPM pada pukul 10.02 malam dan kerja-kerja pemadaman masih giat dijalankan."

"Selain itu, pasukan khas unit HAZMAT daripada BBP Kulim Hi-Tech telah diarahkan untuk ke lokasi kebakaran," kata kenyataan yang dimuat naik JBPM di laman Facebook.

Terdahulu, JBPM Negeri Kedah dikejutkan dengan panggilan kebakaran sebuah kilang kayu pada pukul 7.57 malam pada Ahad.

Empat jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) telah digerakkan ke lokasi bagi operasi pemadaman iaitu BBP Aman Jaya, BBP Sg. Petani, BBP Yan dan BBP Kulim Hi-Tech.

Terdapat juga bantuan daripad Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran yang terdiri daripada PBS Kota Sarang Semut, PBS Semeling, PBS Bedong, PBS Sik, PBS Bukit Selambau, PBS Jeniang, PBS Sungai Petani, PBS Padang Lembu, PBS Gurun, PBS Bakar Arang, PBS Berapit dan PBS Macang Buruk.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM