fb fb fb fb fb

Sebuah keluarga nyaris maut dalam kebakaran di Labuan

(Sebuah rumah terbakar kira-kira 50 peratus di Kg Lubok Temiang pagi tadi/FOTO Bomba Labuan)

LABUAN, 6 Julai - Sebuah keluarga nyaris maut dalam kejadian kebakaran di rumah mereka di Kg Lubok Temiang, pagi tadi.

Bagaimanapun, kesemua mangsa terdiri daripada seorang wanita warga emas yang terlantar, 80, seorang bayi berumur setahun, dua orang kanak-kanak dan seorang wanita sempat menyelamatkan diri dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Abd Rahman Ali berkata pihaknya menerima panggilan kejadian kira-kira pukul 8.16 pagi.
 
"Sebaik pasukan anggota bomba tiba di lokasi kebakaran pada 8.23 pagi, mereka mendapati 50 peratus daripada rumah terbabit sedang terbakar. Api berjaya dipadamkan kira-kira 20 minit kemudian.

"Tindakan awal tiga pelajar sekolah tahfiz berdekatan menggunakan alat pemadam api turut membantu menghalang kebakaran daripada cepat merebak," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, ketua keluarga dikenali sebagai Japar Moss, 49 dihubungi RTM berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di luar sementara isteri, ibu dan tiga orang anaknya berada di rumah tersebut.

"Isteri yang menyedari kejadian berjaya menyelamatkan anak-anak sementara ibu yang menderita strok diselamatkan dengan bantuan jiran," katanya.

Media Baharu