(Perdana Menteri semasa gimik pelancaran Aplikasi I-Akaun KWSP
di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2023/BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 6 Julai- Kerajaan Madani sedang mengambil langkah terbaik dalam melindungi golongan pesara di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan kini memperincikan mekanisme tersebut dan akan membuat pengumuman dalam tempoh terdekat.
Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen.
(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/BERNAMA)
“Kita akan mengusahakannya. Kita perlu hormati keputusan Mahkamah Persekutuan. Kita mempunyai mekanisme untuk melindungi pesara dan akan mengumumkannya tidak lama lagi,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2023 di ibu negara.
Pindaan undang-undang yang memperkenalkan skim pencen baharu yang melaraskan bayaran pencen setiap tahun dengan kenaikan dua peratus dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lalu.
Ia dibatalkan kerana tidak menguntungkan pesara dan tidak berperlembagaan. Justeru, skim pelarasan pencen lama akan terus digunapakai.