JABOR KUBUR, 6 Julai- Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui di atas lantai sebuah kedai menjual ayam di sini awal pagi tadi.
Bayi tersebut ditemui kira-kira pukul 7.45 pagi oleh pemilik kedai di kawasan Jabor Kubur, Chukai, Kemaman.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata bayi tersebut dianggarkan seberat kira-kira 3.2 kilogram.
Bayi cukup sifat tersebut dibawa ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan lanjut.
"Bayi yang ditemui hidup itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh tiga hingga empat hari.
"Polis telah memaklumkan kepada semua klinik kesihatan awam dan swasta mengenai penemuan bayi berkenaan.
"Jika terdapat klinik berkenaan menerima pesakit wanita yang baharu melahirkan anak diminta memaklumkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan.
"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran," katanya kepada pemberita di Balai Polis Air Putih, Kemaman.
(Polis telah memaklumkan kepada semua klinik kesihatan awam dan
swasta mengenai penemuan bayi berkenaan)