fb fb fb fb fb

Sebuah kedai pemborong telur di Klang diarah beri penjelasan

SHAH ALAM, 16 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengarahkan sebuah kedai pemborong telur di Klang untuk memberikan penjelasan berkenaan caj pengendalian telur sebanyak 60 sen yang dikenakan bagi setiap dulang yang dibeli peruncit.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Selangor Mohd Khairi Jamaludin dalan satu kenyataan berkata perkara ini dilakukan selepas pemeriksaan yang dilakukan anggota penguatkuasanya di premis terbabit pada pukul 10.30 pagi tadi, mendapati pemborong tersebut mengenakan caj pengendalian sebanyak 60 sen bagi setiap dulang telur ayam gred A dan B.

Susulan itu katanya premis yang mendapatkan bekalan telur dari Melaka itu telah diberikan suatu Notis Bertulis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, bagi keperluan memberikan justifikasi/sebab atas pengenaan caj terbabit dan tempoh maklum balas adalah sebelum atau pada 21 Oktober ini.

(FOTO HIASAN)

"Premis diperiksa perlu mematuhi notis tersebut dan jika gagal boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011," katanya di sini.

Mohd Khairi berkata pemeriksaan itu dilakukan susulan tular di media sosial berkenaan caj pengendalian tersebut dan mendapati premis tersebut hanya menjual telur kepada peniaga sahaja dan tidak melibatkan pengguna.

Susulan itu katanya, KPDNHEP Selangor telah melakukan tindakan susulan dengan kerjasama KPDNHEP Melaka untuk memberikan Notis yang sama kepada pembekal tersebut.

Beliau berkata KPDNHEP Selangor memberikan peringatan agar peniaga tidak mengenakan apa-apa caj tambahan yang tidak munasabah ke atas telur ayam dan ayam yang masih bawah barangan harga maksimum.

Media Baharu