fb fb fb fb fb

Awak keluar dulu, ungkapan terakhir isteri

(Suami Nurul Nazihah, Reduan Jamil, 28, sebak dan sugul masih trauma dengan kejadian yang menimpa isterinya)

KOTA TINGGI, 16 Oktober - “Awak keluar dulu.”

Itu ungkapan terakhir dari Nurul Nazihah Kamalul Ariffin, 28 tahun, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Plus Utara Selatan arah utara berhampiran Sedenak di sini malam tadi.

Reduan Jamil, 28, yang kelihatan sugul berkongsi detik ngeri itu berkata, semuanya bermula selepas berlaku kesesakan di lebuh raya berikutan kemalangan yang berlaku berhampiran kawasan itu.

“Saya keluar dahulu baru saya pergi selamatkan dia, tetapi tidak sempat kerana kaki isteri saya tersepit di tempat duduk hadapan.

"Saya kopak cermin depan dan cuba menarik isteri saya keluar, saya kopak pula pintu bahagian kiri tetapi masih gagal keluarkan isteri saya.

"Ketika itu tangki minyak kereta tiba-tiba meletup menyebabkan orang ramai menarik saya kerana api terlalu marak.

"Walaupun api marak namun saya tidak merasa bahang panas api malah isteri juga tidak memanggil nama saya apatah lagi meraung selepas dia meminta saya keluar menyelamatkan diri dahulu," katanya yang masih trauma dengan kejadian tersebut ketika ditemui di kediaman mentuanya di Kampung Lukut Batu 4 di sini, hari ini.

Reduan yang juga ejen insurans berkata, dia dan isterinya baru selesai bertemu pelanggan di Kluang.

Katanya, beliau dan isteri dalam perjalanan ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri bagi menyaksikan JDT menentang Sabah FC.

Sementara itu, ayah mangsa, Kamalul Arifin Ahmad, 66 berkata, anaknya baru pulang dari mengerjakan umrah pada minggu lepas.

Ayahnya menyifatkan arwah seorang anak yang sangat tegas dalam bab agama.


(Kamalul Arifin Ahmad (duduk depan tiga, kiri), 66, bersama ahli keluarga terdekat

mendengar bacaan talkin di pusara anaknya, Nurul Nazihah Kamalul Arifin
yang maut dalam kemalangan semalam/FOTO BERNAMA)

Jenazah Nurul Nazihah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin, Kota Tinggi, pada pukul 3.40 petang selepas disembahyangkan di Masjid An-Nur Kampung Lukut, Batu Empat.

Sejak malam tadi, video menyayat hati berdurasi satu minit 37 saat tular di Facebook yang menunjukkan seorang suami meraung selepas isterinya dipercayai terperangkap di dalam sebuah kereta yang dinaiki mereka.

Dalam kemalangan ngeri pada pukul 7.45 malam tadi itu, dua individu maut dalam kenderaan yang marak terbakar selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan babitkan lima kenderaan di lebuh raya berkenaan.

Media Baharu