fb fb fb fb fb

Sebuah bas terbakar, enam penumpang cedera

Bas terbakar dalam kemalangan di Kilometer 198 Lebuhraya Plus arah Utara Melaka

AYER KEROH, 13 Januari- Sebuah bas terbakar dalam kemalangan di Kilometer 198 Lebuhraya Plus arah Utara Melaka awal pagi tadi menyebabkan enam penumpang cedera. 
 
Empat mangsa melecur dengan dua daripadanya melecur 80 peratus dan dua mangsa cedera ringan. 

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat TPGB (KUP) Zahrul Azha Mokhtar, bas yang membawa 30 penumpang itu terbakar 100 peratus di lokasi kejadian. 

"Panggilan diterima pada pukul 3.55 pagi apabila bas tersebut telah melanggar sebuah motosikal yang terlibat dalam kemalangan sebelum itu," kata Zarul Azha Mokhtar.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, pada pukul 4.07 pagi, pihaknya terus melakukan kerja penyelamatan dan pencarian mangsa terlibat. 

"Enam mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Melaka manakala 24 penumpang lain selamat. 

"Pihak bomba turut melakukan pencarian di laluan lebuhraya sepanjang 150 meter untuk memastikan tiada lagi mangsa lain tertinggal," katanya.

Seramai 21 anggota terlibat, membabitkan Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, BBP Bukit Katil dan BBP Tangga Batu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI