AYER KEROH, 13 Januari- Melaka Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bekerjasama dengan beberapa pihak bagi membangunkan 'Enviroment Sensor Station-15' (ESS-15) untuk mencapai standard kualiti udara yang baik dalam usaha menjadikan negeri itu sebagai Zon Udara Bersih.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, ESS-15 itu dapat mencerap pelbagai data bagi tujuan analisis kualiti udara seperti suhu, karbon monoksida (CO), sulfur dioksida (SO2), kelembapan udara, taburan hujan, bunyi bising, kelajuan dan arah angin.
Ia akan ditempatkan di sekitar pentadbiran MBMB yang merangkumi 14 lokasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dilengkapi dengan punca bekalan elektrik serta jaringan internet yang stabil.
"Berada dalam satu sistem yang kita letakkan bawah i-trafik. Melalui sistem itu semua pengunjung yang ingin ke Melaka serta penduduk di negeri itu boleh akses keadaan trafik semasa dan parkir menerusi sistem tersebut.
"Kita juga ada ESS pada masa akan datang, Kita cuba untuk naik taraf bagi memudahkan pengunjung dan penduduk Melaka. Sistem yang diperkenalkan ini adalah secara 'real time' (masa nyata)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian ESS-15 dan Melaka Touch Point di sini.
Satu lagi komponan bandaraya pintar yang dibangunkan iaitu Melaka Touch Point Kiosk yang mengandungi data i-Trafik MBMB, MBMB Smart City, Ceritera Melaka, i-Perolehan MBMB dan juga inovasi MBMB seperti Projek Tali Amaran Pintar.
Setakat ini sebanyak 74,183 pengguna telah mengakses sistem aplikasi i-Trafik MBMB.