fb fb fb fb fb

SDG melestarikan pembangunan negara



PUTRAJAYA, 27 Januari - Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) merupakan komponen penting yang perlu diberi tumpuan dalam semua perancangan dan dasar pembangunan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan, tindakan itu penting bagi mengatasi isu pembangunan tidak lestari yang merosakkan alam sekitar hingga menyebabkan bencana alam.

Beliau berkata, tragedi banjir yang melanda negara baru-baru ini perlu dijadikan iktibar semua pihak.

Keperluan mengimbangi antara pembangunan dan kepentingan melindungi alam sekitar, sama sekali tidak boleh dipandang remeh.

"Sekiranya kita mengabaikan keseimbangan ini, padah yang terpaksa ditanggung sangat tinggi sepertimana yang kita lalui baru-baru ini, ataupun mungkin akan lebih teruk lagi. Ia melangkau apa yang boleh diukur dari segi kewangan. Kerajaan tidak mampu untuk menangani perkara ini secara bersendirian. Sokongan padu amat diperlukan daripada semua pihak, selari dengan pendekatan negara terutamanya apabila kita merujuk kepada SDG," kata Ismail di sini.

Berlandaskan SDG pembangunan Malaysia akan bertambah baik, seterusnya menjadi negara lebih teguh, berdaya tahan, aman dan makmur.

SDG dan petunjuk prestasi negara telah dilakarkan sepenuhnya dalam pelan pembangunan lima tahun negara bermula dengan Rancangan Malaysia Ke-11.

Terdahulu Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Yayasan MySDG yang bertanggungjawab mengawal selia Dana Amanah MySDG.

Dana itu bertujuan mengumpulkan sumbangan untuk menyokong Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030).

Pada masa sama membasmi semua kategori kemiskinan, selain menangani masalah alam sekitar dan memastikan tiada sesiapa dalam Keluarga Malaysia tercicir daripada arus pembangunan.

Buat permulaan, kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk dana MySDG.

 

Media Baharu