fb fb fb fb fb

Negeri dikesan melepasi CTT, berkemungkinan berdepan pengurangan kuota pembalakan



DUNGUN, 27 Januari - Kuota pembalakan mungkin akan dikurangkan bagi mana-mana negeri yang dikesan melepasi had Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan Majlis Tanah Negara (MTN).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu bakal dikenakan jika kejadian seumpama itu dikenal pasti.

"Kouta itu ditetapkan. Semua negeri Terengganu, semua negeri di Malaysia ada catuan kouta tebangan tahunan. Jadi setiap negeri ada CTT. Jadi kita perlu periksa sama ada melepasi CTT ataupun tidak. Urusan perhutanan, urusan Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan hanya memberikan beberapa dasar mengurus dari segi catuan dan sebagainya. Pelaksanaan penebangan itu di bawah Kerajaan Negeri," kata Takiyuddin di sini.

Sebelum ini pelbagai pihak mengaitkan kejadian beberapa ekor harimau berkeliaran di perkampungan Orang Asli di Pos Bihai Gua Musang, Kelantan dengan aktiviti pembalakan secara berleluasa.

Bagaimanapun, semalam Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan aktiviti pembalakan haram di Kelantan masih pada tahap terkawal berbanding di negeri-negeri lain.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah aktiviti pembalakan di Kelantan tidak membimbangkan, Takiyuddin menjawab kenyataan tersebut adalah berdasarkan fakta dibuat Kerajaan Negeri berkenaan.

Beliau turut menyentuh bahawa pembalakan tersusun berdasarkan kuota CTT, sememangnya memberi manfaat kepada ekosistem termasuk populasi harimau belang.

 

Media Baharu