DUNGUN, 27 Januari - Tarif elektrik baharu bagi tempoh tahun 2022 sehingga 2024 sudah diputuskan dan akan diumumkan dalam masa terdekat. Tarif baharu tersebut tidak akan membebankan rakyat.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan tersebut telah diputuskan semalam selepas enam kali perbincangan dilakukan di peringkat kabinet.
"Alhamdulillah semalam telah diputuskan. Jadi saya rasa dalam masa terdekat kita akan laksanakannya. Silap-silap hari ini (pengumuman dibuat) dan kita akan melaksanakan IBR (Kawal Selia Berasaskan Insentif) dan RP3 2022-2024 (Tempoh Regulatori Ketiga IBR) pada 1 Februari ini.
"Jadi apabila kita umumkan, kita sedang menunggu daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) dan saya jamin tarif baharu tidak akan membebankan rakyat," kata Takiyuddin selepas Pelancaran Projek Large Scale Solar berkapasiti 29.99 Mwac di Kampung Tok Arun Kawasan perindistrian Santong Paka di sini.
Pelancaran disempurnakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Hadir Sama Pengarah Kenyir Gunkul Solar Sdn Bhd Dato' Sri Ong Ah Hwa.
Projek solar berkenaan telah bermula 2018 dengan pajakan 21 tahun.