PUTRAJAYA, 27 Januari- Program Vaksinasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) akan bermula pada 3 Februari ini apabila penghantaran pertama vaksin mRNA iaitu Comirnaty PfizerBioNTech akan tiba pada 28 Januari nanti.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali, dianggarkan empat juta kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun layak untuk menerima vaksin tersebut.
Dalam sidang media berkaitan, beliau turut menegaskan bahawa pengambilan vaksin adalah amat digalakkan bagi memastikan kesihatan anak-anak terpelihara.
“Saya ingin menekankan bahawa vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak adalah selamat dan berkesan. Ini juga disokong dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kolej Pediatrik, Academy of Medicine Malaysia pada 20 Januari 2022,” kata Dr. Noor Azmi.
Buat permulaan, pemberian vaksin Pfizer (Kanak-kanak) akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital-hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan, manakala pemberian vaksin bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan akan diberi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.
PICKids akan diperluaskan ke sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Selain itu beberapa kaedah pemberian lain telah dikenal pasti seperti PPV Offsite, klinik swasta, klinik kesihatan dan program jangkau luar atau outreach.
“KKM juga telah memulakan kerjasama dengan agensi-agensi pemegang taruh yang lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional, Jabatan Kemajuan Masyarakat, persatuan dan pertubuhan bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada vaksinasi COVID-19, katanya.
Bagi memudahkan ibu bapa atau penjaga membuat janji temu, sistem Tempahan Janji Temu melalui Aplikasi MySejahtera juga dibuka.
“Sistem ini akan dimuat naik di play store pada hari ini dan boleh diakses dalam masa terdekat, katanya.
Setakat hari ini, seramai 484,639 kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun telah mendaftar di MySejahtera.