SEREMBAN, 17 Februari- Sebanyak satu juta buku tulis kitar semula akan diedarkan ke sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
Ia bakal memanfaatkan seramai 100,000 murid dalam kalangan B40, miskin dan miskin tegar di setiap sekolah.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan berkata, bantuan buku tulis tersebut merupakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) berteraskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) oleh Perbadanan Kota Buku bersama rakan peneraju Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) serta rakan strategik CP Integrated Sendirian Berhad.
"Jadi kita mengharapkan melalui sumbangan daripada Perbadanan Kota Buku ini akan dapat meringankan beban kepada ibu bapa dari segi pembelian buku latihan setiap murid akan mendapat 10 naskah buku latihan dan pemilihan murid adalah dari kalangan B40 miskin dan juga miskin tegar", katanya.
Tambahnya, ia juga diharap dapat memupuk kesedaran dan semangat mesra alam sekitar dalam kalangan murid di samping meringankan beban kewangan golongan B40 dalam menyediakan keperluan asas pendidikan anak-anak mereka.
Beliau berkata demikan pada sesi tinjauan Hari Pertama Pembukaan Sekolah Kalendar Akademik Sesi 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi, Senawang.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar berkata, terdapat pertambahan kelas di beberapa sekolah di negeri itu berikutan pertambahan murid yang mendaftar bagi sesi 2025/2026.
"Memang berlaku pertambahan kelas mengikut unjuran sekolah ABM penjawatan, kita telah dan kita akan tengok bagaimana untuk minggu pertama ini, kita lihat adakah keperluan lagi untuk kita buka kelas mengikut pendaftaran murid, sebab sekarang ini kita daftar, tetapi kita tidak tahu lagi murid yang akan masuk sesi 2025/2026", katanya.
Seramai 45,116 murid telah mendaftar masuk bagi sesi 2025/2026 melibatkan 44,497 murid perdana serta 619 murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).