KUALA LUMPUR, 17 Februari- Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak memperkukuh kerjasama antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) untuk merancakkan lagi perkembangan industri minyak dan gas negara.
Dalam usaha itu, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengiktiraf Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) sebagai asas undang-undang yang mengawal selia sektor tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan demikian dalam sesi penerangan di Dewan Rakyat hari ini mengenai aktiviti petroleum di Sarawak.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan turut menyambut baik aspirasi Sarawak untuk lebih terlibat dalam industri minyak khususnya melalui pelaksanaan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.
DGO akan dibaca bersama dengan Akta PDA 1974 yang menetapkan dasar bagi pengurusan industri minyak dan gas di Malaysia.
"Maka adalah wajar dimeterai pemuafakatan ini untuk memperkukuh tata kelola dasar dan pengembangan industri petroleum dan gas, serta memenuhi mandat Akta PDA 1974 dengan mengambil kira peranan PETROS," kata Perdana Menteri.
Sehubungan itu, PETROS akan berperanan sebagai "aggregator" atau badan penyelaras dalam industri minyak dan gas di Sarawak yang memainkan peranan penting dalam menyelaras dan menguruskan sumber tenaga di negeri tersebut.
Beliau menegaskan bahawa walaupun PETROS menggalas peranan sebagai "aggregator", kelulusan dan obligasi kontraktual domestik dan antarabangsa yang telah diberikan kepada PETRONAS akan kekal berkuat kuasa.
"Kerjasama ini adalah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan mengiktiraf Akta PDA 1974 sebagai akta persekutuan," tambah beliau.
Anwar juga memaklumkan bahawa PETRONAS telah membelanjakan lebih RM600 juta dalam pelbagai usaha pendidikan dan pembangunan modal insan di Sarawak sepanjang 10 tahun lalu.
Sebanyak 680,000 warga Sarawak telah menerima manfaat melalui biasiswa dan program latihan untuk para pendidik.
Selain itu, sekitar 4,300 individu turut mendapat peluang pekerjaan di PETRONAS.
"Sayugia (perlu) diingat bahawa hasil besar yang diraih selama ini oleh negara sehingga dapat kita jadikan dana PETRONAS sebagai dana utama sejak awal pembentukan negara dan juga pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negara. Semua ini berkat negeri Sarawak dan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya.