KUALA LUMPUR, 17 Februari- Suruhanjaya Bebas Tatakelola Polis (IPCC) telah membangunkan Sistem Pengurusan Aduan dan Siasatan (SPEACS).
Ia bakal menggantikan sistem aduan sedia ada menerusi aduan terus pengguna kepada sistem berkenaan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata SPEACS dijangka dillancarkan pada Mac ini.
"Bila sistem ini nanti sudah mula beroperasi, kita akan dapat susuli... misalnya kalau kita hendak hasilkan laporan tahunan dengan butiran, perincian statistik aduan yang diterima, yang diselesai, yang masih lagi pending, kita boleh buat.
"Kita juga boleh bagi kemas kini masa sebenar. Maknanya, bila sistem ini dibangunkan nanti, dengan sendirinya kita boleh ada dashboard untuk buat pengesanan atau tracking terhadap status aduan", katanya dalam sesi Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mengenai pencapaian IPCC.
IPCC beroperasi pada Julai 2023 dan berperanan sebagai badan pemantau bebas bawah kendalian kementerian.
Ini termasuk siasatan aduan salah laku dan tatakelola yang dibuat orang awam atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).