fb fb fb fb fb

Sastera kanak-kanak beri pendedahan awal kepada kemampanan, kesihatan dan sosial

Datuk Dr Sim (dua dari kanan) pada majlis perasmian seminar Jom Kita Bincang : Kemampanan, Kesihatan Dan Isu Sosial Melalui Sastera Kanak-Kanak di Pustaka Negeri Sarawak

KUCHING, 13 Jun- Sastera kanak-kanak dapat mempengaruhi kanak-kanak dan masyarakat menerusi pelbagai cara.

Melalui bacaan, kanak-kanak didedahkan lebih awal dan berterusan mengenai kemampanan, kesihatan dan hak sosial, yang merupakan isu besar, seterusnya dapat membangunkan minda mereka.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sastera kanak-kanak juga dapat mengembangkan rasa tanggungjawab, empati dan belas kasihan menerusi aktiviti membaca.

“Ia dapat memantapkan kemahiran membaca mereka kerana membaca membawa kanak-kanak ke dunia lebih luas iaitu pendidikan, kemajuan dan penyertaan dalam saintifik, politik dan budaya dalam usaha menggerakkan negara ke hadapan.

“Bagi mengukuhkan sastera kanak-kanak juga, mereka perlu mempunyai akses kepada buku-buku menarik," katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier, Datuk Dr Sim Kui Hian semasa merasmikan seminar Jom Kita Bincang : Kemampanan, Kesihatan Dan Isu Sosial Melalui Sastera Kanak-Kanak di Pustaka Negeri Sarawak, Kuching.

Tambah Tan Sri Abang Johari, sastera kanak-kanak mampu membentuk ikatan kuat terutamanya dalam hubungan anak dan ibu bapa apabila ibu bapa membacakan buku kepada anak-anak.

Membaca turut menjadi jambatan antara murid dan guru, rakan sebaya atau pustakawan sekolah mereka.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE