Sasaran 95,000 anggota angkatan sukarela selari tonggak pertahanan komprehensif

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali

KUALA LUMPUR, 24 Januari – Penetapan sasaran sebanyak 95,000 orang menyertai Angkatan Sukarela Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaras dengan keperluan untuk memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara secara menyeluruh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran 95,000 anggota Angkatan Sukarela selaras Tonggak Pertahanan Komprehensif bagi memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara.
  • Pemerkasaan melalui pengukuhan tadbir urus, peningkatan kebajikan dan penyelarasan dasar antara kerajaan serta pemegang taruh.
  • Pelaksanaan berstruktur bagi memastikan Angkatan Sukarela kekal berdaya tahan dan responsif terhadap ancaman keselamatan masa hadapan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali berkata, sasaran itu perlu dilihat dalam konteks pelaksanaan Tonggak Pertahanan Komprehensif seperti digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP), yang menekankan pendekatan menyeluruh kerajaan dan pendekatan segenap masyarakat bagi memperkukuh keupayaan pertahanan negara melalui penglibatan menyeluruh jentera kerajaan dan masyarakat.

“Sehingga 31 Disember 2025, keanggotaan Angkatan Sukarela yang direkodkan adalah seramai 36,610 orang, merangkumi 28,213 anggota Askar Wataniah, 5,419 anggota Pasukan Simpanan TLDM dan 2,978 anggota Pasukan Simpanan TUDM.

“Angka ini mencerminkan sumbangan signifikan Angkatan Sukarela dalam menyokong keperluan operasi dan kesiapsiagaan ATM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Pendukung (SPJP) Angkatan Sukarela Semalaysia ke-19 di Wisma Perwira ATM, di ibu negara hari ini.

Daripada pecahan sasaran keseluruhan keanggotaan itu, ia melibatkan 80,000 anggota Askar Wataniah, 10,000 anggota Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 5,000 anggota Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dalam pada itu Datuk Lokman Hakim berkata, pemerkasaan angkatan itu perlu dilaksanakan secara berfokus melalui pengukuhan tadbir urus dan peningkatan kebajikan.

“Langkah itu memerlukan penyelarasan dasar mantap antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pemegang taruh bagi memastikan sokongan pertahanan digerakkan secara mampan,” katanya lagi.

Pelaksanaan berstruktur penting bagi menjamin Angkatan Sukarela ATM kekal berdaya tahan sebagai komponen sokongan utama dalam menghadapi sebarang ancaman keselamatan masa hadapan.

Meskipun terdapat cabaran utama, beliau turut melihat potensi signifikan untuk memperkukuh angkatan itu sebagai komponen strategik lebih responsif terhadap dinamika keperluan pertahanan negara semasa.

SPJP Angkatan Sukarela ke-19 itu menghimpunkan 23 ahli yang terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendukung negeri atau wakil masing-masing, dan diadakan semula selepas penganjuran terakhir pada 2015 bertujuan memperbaharui dan memperkukuh mekanisme penyelarasan nasional Angkatan Sukarela ATM.

Sidang berkenaan turut dihadiri Ketua Staf Markas ATM Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri dan Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.