fb fb fb fb fb

Sasaran 200,000 pengunjung ke Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025

Pengarah Kanan Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris di majlis pelancaran Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025.

PETALING JAYA, 22 Ogos - Tourism Malaysia mensasarkan lebih 200,000 pengunjung hadir ke Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025 yang bakal berlangsung di enam negeri iaitu Pahang, Lembah Klang, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.

Pengarah Kanan Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris berkata, karnival ini dijangka menjadi pemangkin besar kepada sektor pelancongan domestik dengan penyertaan lebih 200 pempamer. Ia termasuk agensi pelancongan, pengusaha hotel, kraf serta pemain industri tempatan.

“Pelancongan domestik adalah tulang belakang industri pelancongan negara. Melalui Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025, kita bukan sahaja mengetengahkan pakej percutian dan promosi perjalanan, tetapi juga keunikan warisan, budaya dan kulinari Malaysia untuk dinikmati rakyat,” katanya selepas majlis pelancaran disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Tambah beliau, kerjasama strategik dengan Star Media Group akan memperluas capaian karnival ke seluruh negara serta menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Dengan kerjasama ini, kami yakin lebih ramai rakyat akan terdorong untuk melancong dalam negara, sekali gus memperkukuh ekosistem industri pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Tourism Malaysia turut mengalu-alukan penyertaan rakyat untuk menikmati promosi pakej pelancongan, persembahan kebudayaan, pameran kraf, pesta makanan dan pelbagai tawaran menarik sepanjang karnival.

TUN JULIA MOHD TAHIR