PUTRAJAYA, 22 Ogos - Penglibatan 113 rakan strategik dengan jumlah tajaan lebih RM 22 juta untuk Program Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025), membuktikan kerjasama erat sektor korporat, swasta, badan berkanun, badan bukan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia bersama-sama kerajaan.
Antara rakan strategik yang menyumbang dalam sambutan HKHM 2025 adalah Astro dan Telekom Malaysia Berhad (TM).
Masing - masing menzahirkan keterujaan kerana dapat bekerjasama dan menjadi sebahagian rakan strategik bagi menjayakan sambutan tahun ini yang bertemakan "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni."
Menurut Ketua Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, matlamat utama pihaknya adalah untuk menyemarakkan semangat cintakan negara.
"Matlamat utama kami adalah untuk menyemarakkan semangat cintakan negara, bukan hanya pada musim tertentu tetapi setiap hari. Menerusi stesen radio dan platform Astro, kami mahu rakyat sentiasa berbangga menjadi rakyat Malaysia," katanya.
Beliau turut memaklumkan sambutan HKHM 2025 kali ini menjadi sejarah apabila buat pertama kalinya stesen radio Astro dan lima stesen radio Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan bergabung dan bersiaran secara serentak pada 31 Ogos nanti.
"Kali ini berbeza sedikit bersempena 31 Ogos, kami akan bersiaran secara langsung dari Dataran Putrajaya bersama stesen-stesen radio RTM, buat pertama kali dalam sejarah. Lima stesen radio Astro iaitu ERA, Hitz, MY, RAAGA dan Zayan akan bergabung dengan lima stesen RTM iaitu KLfm, Selangorfm, Minnalfm, Aifm dan TraXXfm. Jadi, tak kira stesen mana anda dengar, semua penyampai akan bersama-sama menyampaikan mesej patriotik dalam pelbagai bahasa."
Sementara itu, Naib Presiden Komunikasi Startegik TM, Mohd Asril Idris berkata, penyediaan WiFi TM di lokasi-lokasi sambutan di seluruh negara menyemarakkan lagi sambutan.
"Tentunya TM amat berbangga untuk menyertai seluruh rakyat Malaysia untuk menyemarakkan sambutan HKHM 2025. Tahun ini antara sumbangan kami adalah kita menyediakan WiFi internet untuk lokasi-lokasi sambutan di seluruh negara.
"Bagi TM tema tahun ini amat bermakna kerana ia melambangkan sebuah negara yang mahukan perpaduan, kesepakatan dan juga inklusif," kata Mohd Asril Idris, Naib Presiden Komunikasi Startegik TM.
Beliau ditemui selepas majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Kementerian Komunikasi bagi Program Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2025 (HKHM 2025) yang disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, di Putrajaya.