TANJUNG MALIM, 19 Februari - Menjelang tahun 2050, kerajaan menyasarkan untuk melahirkan seramai 125,000 Huffaz di seluruh negara.
Komitmen itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha martabat Huffaz bagi mengelak golongan itu terpinggir daripada aliran pendidikan nasional.
Usaha tersebut akan dilakukan dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim menerusi beberapa program dan kursus ditawarkan.
Tempoh dua minggu turut diberikan kepada universiti untuk menyiapkan modul, pedagogi pembelajaran dan pengajaran bagi kegunaan pelajar dan tenaga pengajar.
"Dalam hal ini UPSI telah mengambil beberapa langkah ke hadapan, saya minta bukan sekadar penyediaan modul kepada program yang telah saya katakan, tetapi yang paling penting matlamatnya nanti pada tahun 2050 kita berhasrat untuk melahirkan seramai 125,000 Huffaz yang profesional.
Ertinya mereka bukan hanya menjadi ahli profesional seperti jurutera peguam doktor akauntan dan sebagainya tetapi pada masa sama mereka juga menjadi imam masjid dan mengetuai beberapa institusi atau badan-badan korporat," kata Zahid di sini.
(Zahid yang juga Menteri Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bercakap
kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ketika lawatan khas ke UPSI)
Dalam perkembangan sama, beliau turut menghargai usaha UPSI untuk mewujudkan sebuah institusi pendidikan dan pengajaran Islam secara khusus bagi merealisasikan usaha kerajaan tersebut.