(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menandatangani
plak pembukaan pusat bersalin ketika mencemar duli ke Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman
hari ini/ Foto BERNAMA)
ROMPIN, 19 Februari - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya pembinaan hospital di Pulau Tioman dapat disegerakan.
Baginda menitahkannya kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semasa baginda berkenan mencemar duli melawat fasiliti di Klinik Kesihatan Tekek, hari ini.
Pembinaan hospital di Kampung Tekek merupakan rancangan jangka panjang bagi menaik taraf Klinik Kesihatan Tekek sedia ada yang setakat ini hanya mampu merawat kes yang memerlukan pemerhatian, tetapi tidak kritikal.
Baginda yang tiba pada pukul 11.50 pagi telah berkenan mendengar persembahan taklimat oleh Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus.
Dalam sembah taklimat, beliau memaklumkan, rancangan pembinaan hospital itu adalah bagi memastikan kes yang memerlukan pemerhatian dapat dirawat tanpa perlu dirujuk ke tanah besar.
(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan
mencemar duli melawat ke Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman hari ini/ Foto BERNAMA)
Pada program itu, Al-Sultan Abdullah berkenan melawat pusat bersalin sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM2.92 juta dengan RM2.37 juta bagi aset dan RM545,000 untuk kerja naik taraf bangunan klinik berkenaan.
Kewujudan pusat bersalin itu, merupakan cetusan idea dan titah Seri Paduka ketika keberangkatan baginda ke Pulau Tioman pada Mac tahun lalu, bagi memudahkan penduduk di pulau terbabit untuk bersalin tanpa perlu ke Rompin atau Mersing.
Nor Azimi memaklumkan, Klinik Kesihatan Tekek merupakan klinik kesihatan pertama di negara ini yang menerima 'Advanced portable ventilator', 'High-end Ultrasound Machine' dan 'Cardiac Monitor Defibrillator'.