BEHRANG, 18 Jun - Kerajaan menyasarkan untuk mempertingkatkan jumlah anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebagai persediaan menghadapi sebarang bencana dan kecemasan yang mungkin berlaku.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu bagi membolehkan mereka menghulurkan bantuan awal sekiranya sesuatu musibah berlaku dalam kalangan komuniti.
"Tentu dengan penglibatan ramai sukarelawan APM ada anggota tetap. Lebih kurang 4,000 orang dan sudah tentunya dengan adanya kursus-kursus seumpama ini kita dapat menambahkan bilangan sukarelawan terutama sekali dalam kalangan generasi muda.
"Yang penting kita harap elemen sukarela itu dapat kita tingkatkan dan sudah tentu apabila berlaku bencana dan sebagainya kita tidak hanya mengharapkan agensi jabatan tetapi kita gerakkan rakyat," katanya.
Datuk Seri Dr Shamsul Anuar bercakap kepada pemberita pada Majlis Pentauliahan Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA) sempena 1st Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Malaysia Civil Defence Annual Camp and Commissioning di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), di sini.
Pada majlis itu, seramai 220 pelajar melibatkan 20 politeknik di seluruh negara menerima tauliah Staff Muda Pertahanan Awam. Setakat ini lebih 22,000 pelajar melalui PISPA telah dilatih.
Tambahnya, antara objektif PISPA adalah untuk menyebar dan mendidik pelajar mengenai langkah-langkah keselamatan diri dan orang awam serta membentuk keperibadian mereka untuk menjadi seorang individu yang berpengetahuan dalam ilmu pertahanan awam.