TAMBUNAN, 18 Jun- Kerajaan Negeri Sabah menerima peruntukan hampir RM44 juta bagi pembangunan fasiliti kesihatan bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
Ia melibatkan pelaksanaan 55 projek naik taraf dan bina semula klinik serta fasiliti kesihatan daif di Sabah yang sedang giat dilaksanakan tahun ini, termasuk 43 projek roboh dan bina baharu serta 12 projek naik taraf.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata, langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk merapatkan jurang akses kesihatan antara Sabah dan negeri-negeri di Semenanjung, selain semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Klinik Kesihatan Sunsuron di sini.
Pembinaan klinik itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 8,000 penduduk di kawasan tersebut, dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan penting termasuk rawatan pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, farmasi, makmal tibi dan malaria serta program kesihatan lanjutan.
Beliau turut dijadualkan meninjau kemudahan kesihatan Hospital Tambunan, Klinik Kesihatan Bulu Silau dan Klinik Kesihatan Merampok sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan luar bandar.
Kementerian itu juga akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat untuk membincangkan projek sakit melibatkan fasiliti kesihatan di seluruh negara.
Ia termasuk meneliti status semasa projek-projek terbengkalai atau mengalami kelewatan, serta merangka langkah penyelesaian bagi memastikan pelaksanaan semula berjalan lancar demi kepentingan rakyat.
Sementara itu, bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, usaha memperkasa kemudahan kesihatan itu dilihat selari dengan tuntutan bawah MA63.
Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, ia termasuk penekanan terhadap penyediaan prasarana kesihatan yang lebih menyeluruh di kawasan luar bandar, selaras hasrat memperkukuh hak dan keperluan Sabah dalam kerangka persekutuan.