fb fb fb fb fb

Pendaftaran tuntutan bayaran balik tunai bot penumpang dibuka 9 Oktober

Foto RTM

CYBERJAYA, 3 Oktober - Pendaftaran bagi tuntutan bayaran balik tunai syarikat bot penumpang yang layak menerima subsidi petrol RON95 akan dibuka bermula Khamis ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ini selepas kerajaan bersetuju memasukkan syarikat bot penumpang dalam senarai sektor pengangkutan awam yang layak menerima subsidi petrol RON95 bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

Beliau memberitahu, pengusaha boleh membuat pendaftaran dan mengemukakan tuntutan bayaran balik tunai melalui portal https://mysubsidi.kpdn.gov.my.

"Keputusan ini dibuat selepas kerajaan mengambil kira rayuan pengusaha bot penumpang yang berperanan penting dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada masyarakat, khususnya di kawasan yang bergantung pada laluan sungai sebagai mod perjalanan utama.

"Pada masa sama memastikan pengusaha bot terlibat dapat terus menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat tanpa terbeban dengan kos operasi yang tinggi," jelasnya pada sidang media selepas melakukan tinjauan pelaksanaan SKPS dan majlis penyerahan Fleet card kepada empat syarikat berdaftar di sebuah stesen minyak di Cyberjaya.

Bagaimanpun jelas beliau, hanya syarikat bot penumpang awam yang berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah atau Lembaga Sungai-Sungai Sarawak layak mengemukakan tuntutan selain bot penumpang terbabit mestilah beroperasi di kawasan berpenduduk serta menyediakan perkhidmatan berjadual.

"Justeru, syarikat terbabit diminta segera menyemak status pendaftaran masing-masing, memperbaharuinya jika tamat tempoh, atau mendaftar sekiranya belum berbuat demikian dengan agensi-agensi yang disenaraikan iaitu Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah atau Lembaga Sungai-Sungai Sarawak," ujarnya.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN