fb fb fb fb fb

Akuakultur sumber alternatif utama tangani kekurangan bekalan makanan laut

Foto fail/BERNAMA

MUAR, 3 Oktober -Projek akuakultur semakin penting dalam memastikan bekalan ikan negara mencukupi bagi keperluan rakyat, terutama berikutan kekurangan sumber itu akibat pembangunan di kawasan pesisir pantai.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, sektor akuakultur kini menjadi sumber alternatif utama dalam menjamin kelestarian bekalan makanan laut.

Katanya, ketika ini kadar bekalan ikan kepada pengguna dalam negara berada pada kadar 90 peratus.

Bagi memperkasa sektor akuakultur, LKIM memberikan sumbangan dua set penjana kuasa kepada Persatuan Nelayan Muar (PNM) bernilai RM50,000 menerusi Bantuan Geran Pembangunan dan Pemerkasaan.

"Kita tidak boleh bergantung kepada hasil laut, kerana hasil laut ini pertamanya, makin berkurangan dan kebanyakan kawasan persisir pantai ini terlibat dengan pembangunan, dimana kalau kita tengok hari ini projek tambakan laut itu sudah menjejaskan kawasan tangkapan nelayan. Jadi apa kita perlu buat adalah kita perlu fokus kepada akuakultur," katanya ketika menyempurnakan Majlis Rahmah MADANI, serta menyantuni komuniti nelayan, di sini.

LKIM turut menyalurkan RM84,000 untuk Bantuan Khas Perumahan Nelayan kepada warga PNM, selain RM30,000 kepada 30 penerima PNM menerusi Program Bantuan Touch Point.

TETITIA YUSOFF