BINTULU, 18 Jun– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan dua individu bersama sebuah bot tunda kerana disyaki melanggar syarat sah lesen, semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, berkata bot berkenaan dikesan pada kedudukan 4.9 batu nautika barat laut Kuala Kemena oleh pasukan rondaan Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Operasi TIRIS 3.0, Operasi PERMAI 01/2019 dan Operasi MARDOF 1/2025.
"Bot itu hanya dikendalikan oleh dua kru, iaitu seorang warga tempatan berusia 26 tahun dan seorang lagi warga Indonesia berusia 23 tahun.
"Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut beroperasi dengan keanggotaan yang tidak mencukupi sebagaimana ditetapkan dalam syarat lesen," katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, bot terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Kaedah 12, Peraturan Bot 1953 kerana tidak memenuhi syarat keanggotaan seperti yang dikehendaki Pegawai Pelabuhan.
Jika disabit kesalahan, pemilik bot boleh dikenakan denda atau kompaun.
Bot bersama kru telah diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa mematuhi syarat lesen serta mengamalkan prosedur keselamatan di laut bagi mengelakkan risiko kejadian yang tidak diingini.