fb fb fb fb fb

Pelbagai inisiatif dorong generasi muda sertai sektor pertanian

Foto Arkib / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Pelbagai inisiatif sedang dijalankan untuk menarik minat generasi muda, bagi memastikan kesinambungan tenaga kerja dan kelestarian bekalan makanan.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak, usaha tersebut memberi tumpuan kepada penyediaan ilmu pengetahuan, latihan, serta penerapan teknologi moden seperti penggunaan dron, dan sistem pertanian pintar lain.

"Kita ada pelbagai geran untuk membangunkan dan memberi sokongan kepada petani muda untuk menceburi bidang ini. Terdapat program yang menyediakan geran sebanyak RM30,000 bagi membantu mereka memulakan aktiviti pertanian.

"Sekiranya perniagaan mereka semakin maju, geran scale-up pula akan diberikan bagi meningkatkan hasil, produktiviti dan gerak kerja pertanian mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.

Tambah Datuk Seri Isham, dalam sektor perikanan dan akuakultur, peralatan lama yang tidak lagi menepati piawaian akan digantikan dengan teknologi moden seperti sistem "biofloc", penternakan ikan dalam sangkar, serta tangki pintar yang lebih efisien.

Pelaksanaan program tersebut dijangka membolehkan golongan muda menjadi pelapis kepada petani sedia ada, sekali gus memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negara pada masa hadapan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM