KUCHING, 11 Februari – Sarawak bakal menubuhkan Institut Kepemimpinan Kontemporari bagi melahirkan pemimpin berwawasan, beretika dan inklusif dalam menghadapi cabaran global.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata institut tersebut akan menjadi pusat pembangunan kepemimpinan yang memberi penekanan kepada perancangan strategik, kepercayaan masyarakat dan keterangkuman.
"Institut ini bukan sekadar melatih pemimpin, tetapi membentuk asas kepemimpinan yang beretika, berwawasan dan mampu beradaptasi dengan cabaran global," katanya ketika menyampaikan ucaptama di Contemporary Leadership International Summit 2025 (CLIS2025), di sini.
Institut tersebut akan diterajui Institut Pengurusan Sarawak (MASA), manakala Malaysian Research and Education Foundation (MyREF) akan memainkan peranan penting dalam membentuk program pendidikan kepimpinan, latihan serta agenda penyelidikan.
Menurut Abang Johari, kerjasama strategik antara MASA dan MyREF melalui Memorandum Kolaborasi yang dimeterai pada Disember lalu menjadi asas pembangunan institut itu.
"Kepemimpinan masa kini perlu berubah dan menyesuaikan diri dengan persekitaran yang dinamik. Kepemimpinan tanpa wawasan strategik akan terkesan dengan gangguan, tanpa kepercayaan akan kehilangan sokongan, dan tanpa keterangkuman akan terasing daripada realiti masyarakat," tegasnya.