SHAH ALAM, 20 November– Selangor berhasrat memanfaatkan peluang kerjasama dalam ASEAN bagi memperkukuh kedudukan negeri itu dalam perdagangan serantau.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata peluang itu dimanfaatkan khususnya meningkatkan aktiviti import dan eksport.
Katanya, sebagai negeri yang mencatat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia, Selangor berada pada kedudukan strategik untuk membantu produk tempatan serta pelabur menembusi pasaran ASEAN.
Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja dijangka meningkatkan nilai eksport negeri, malah berpotensi menarik lebih banyak pelaburan strategik ke Selangor dan Malaysia.
“Kita akan meneroka peluang melalui Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang dianjurkan di negara ASEAN.
"Ini adalah sebahagian daripada langkah dan inisiatif negeri untuk mempertingkatkan nilai dagangan antara negara ASEAN dan Malaysia," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azmin Ali (Bukit Antarabangsa) pada Sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Tambahnya, Selangor juga bersedia menjadi pintu masuk antara negara ASEAN ke Malaysia dan Malaysia ke negara-negara ASEAN.