KUALA LUMPUR, 11 Februari – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama penyedia perkhidmatan utama telah menjalankan penilaian rangkaian menyeluruh di Batu Caves sejak 5 Februari lalu bagi memastikan sambutan Thaipusam tahun ini berjalan lancar tanpa isu rangkaian.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata dengan jangkaan kehadiran lebih 1.8 juta pengunjung termasuk pelancong antarabangsa, kesalinghubungan yang stabil amat penting bagi memastikan semua pihak kekal berhubung.
"MCMC telah mengambil langkah proaktif dengan mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk memastikan perkhidmatan telekomunikasi berjalan lancar sepanjang sambutan Thaipusam," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Nie Ching turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Thaipusam kepada semua yang meraikannya, serta menyifatkan perayaan itu sebagai simbol perpaduan yang menyatukan keluarga, sahabat, dan komuniti dalam keharmonian.