fb fb fb fb fb

BDA fokus naik taraf sistem tebatan banjir

Foto Hiasan / Bernama

BINTULU, 11 Februari – Keperluan menaik taraf sistem tebatan banjir di Bintulu menjadi agenda utama dalam mesyuarat khas Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) yang diadakan pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata mesyuarat itu menekankan kepentingan melaksanakan projek pendalaman dasar Sungai Sebiew, Sungai Plan, dan Sungai Sebatang bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan terjejas.

Selain itu, usaha mempercepatkan proses penempatan semula penduduk setinggan turut menjadi keutamaan bagi memastikan keselamatan penduduk yang tinggal berhampiran sungai.

“Satu perbincangan secara makmal akan dilakukan dan diketuai oleh Datuk Seri Tiong bersama agensi berkaitan dalam masa terdekat. Pihak SPA juga akan mengambil kira aspek pembangunan infrastruktur yang lebih baik, termasuk sistem saliran dan tebatan banjir, bagi mengurangkan risiko banjir dan memastikan keselamatan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bakul Makanan di Dewan Jepak, di sini.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 289 bakul makanan diagihkan kepada penduduk Kampung Jepak melalui penghulu, manakala 245 bakul makanan diserahkan kepada penduduk Kuala Tatau.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN