fb fb fb fb fb

Malaysia sedia berkongsi kepakaran selari agenda pembangunan Afrika

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pertemuan dengan dengan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AUC), Mahamoud Ali Youssouf di Addis Ababa, Afrika /Foto FB Anwar Ibrahim

ADDIS ABABA, 20 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AUC), Mahamoud Ali Youssouf di ibu pejabat beliau di sini.

Datuk Seri Anwar mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan beliau pada Mac lalu, di samping menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan negara-negara Afrika secara lebih strategik dan berpandangan jauh.

Katanya, pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada September lalu menjadi pemangkin penting untuk memperluas jaringan kerjasama dengan negara-negara anggota Kesatuan Afrika.

Beliau dalam pada itu turut menekankan potensi besar untuk menghubungkan Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) dengan pasaran ASEAN, iaitu sesuatu yang mampu membuka ruang pertumbuhan baharu, meningkatkan keterhubungan serantau, sekali gus membawa manfaat langsung kepada rakyat.

Malaysia juga bersedia berkongsi kepakaran dalam bidang yang selari dengan agenda pembangunan Afrika, termasuk kewangan Islam, ekonomi digital, pembangunan infrastruktur mampan serta sektor komoditi bernilai tinggi seperti minyak sawit.

SITI NOORAIN ABDULLAH