fb fb fb fb fb

PKR Sabah sedia main peranan lebih besar, janji perkukuh pentadbiran negeri

Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR Sabah Datuk Peto Galim berikrar memainkan peranan lebih besar dalam pentadbiran negeri sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 /BERNAMA

KOTA KINABALU, 20 November- PKR Sabah optimis memainkan peranan lebih besar dalam pentadbiran negeri sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, dengan menonjolkan kepimpinan berkualiti, penyampaian efektif dan agenda reformasi sebagai teras perjuangan parti di peringkat negeri.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR Sabah Datuk Peto Galim berkata parti itu menampilkan calon-calon berkualiti, yang diyakini mampu menyumbang idea dan tenaga untuk memperkukuh pentadbiran negeri, sekali gus membawa manfaat kepada rakyat di semua peringkat.

“Kita meletakkan tidak banyak calon. PKR sendiri hanya meletakkan 12 calon. Persoalannya kenapa kita meletakkan calon yang yang sedikit berbanding dengan calon-calon yang lain? Amanat kita, tanggungjawab kita adalah ingin bertanding dan menang dalam pertandingan itu dan calon-calon yang kita letak pada hari ini calon-calon yang berkualiti,” katanya dalam temuramah di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PKR Sabah berkata partinya komited membawa reformasi dalam sistem pentadbiran negeri, khususnya melalui usaha memperkemas pelaksanaan projek, meningkatkan tatakelola dan memastikan jabatan serta agensi negeri bertindak lebih efisien.

“Kita akan memperkenalkan beberapa reformasi lagi kepada kerajaan nanti, apabila kita sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri. Jadi, semangat kita ialah semangat untuk ingin membawa perubahan dan menyelesaikan masalah dan menyediakan peluang pekerjaan dan menyediakan satu keadaan perniagaan yang kondusif kepada semua di kawasan-kawasan negeri Sabah,” katanya.

Datuk Peto berkata kelewatan pelaksanaan projek serta tidak efisen dalam penyampaian keputusan, merupakan antara cabaran utama yang perlu diperbaiki untuk memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkualiti.

“Sebab itu saya sangat menyeru kepada pimpinan negeri ini supaya melihat kerangka lebih besar. Melihat satu usaha yang yang lebih bersatu padu, bekerjasama untuk bawa negeri ini maju ke depan,” katanya.

Datuk Peto berkata peranan PKR Sabah selepas PRN ini bukan sekadar menambah jumlah kerusi, tetapi memastikan wakil rakyat parti membawa perubahan nyata kepada pentadbiran negeri melalui penyelesaian masalah rakyat, pelaksanaan projek secara teratur dan peningkatan peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, beliau yakin penyertaan PKR Sabah dalam kerajaan negeri kelak, akan mengukuhkan hubungan kerja antara Sabah dan kerajaan Persekutuan, sekali gus mempercepatkan proses penyelesaian isu-isu utama seperti pembangunan infrastruktur, kemudahan asas dan peluang ekonomi.

“Harapan kita jelas, kita mahu membentuk kerajaan bersama dengan kerajaan negeri Sabah dan apabila kita bentuk kerajaan ini, sudah tentulah kita mahu memainkan peranan aktif di dalam pentadbiran negeri,” katanya.

Datuk Peto berkata komitmen dan keupayaan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjadi faktor keyakinan bahawa Sabah akan menerima perhatian dan sokongan lebih kukuh, sekiranya PKR menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.

PRK bertanding di 12 kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, DUN Api-Api, DUN Merotai, DUN Melalap, DUN Sindumin, DUN Tulid, DUN Gum-Gum, DUN Karamunting, DUN Segama, DUN Petagas, DUN Bandau dan DUN Moyog.

Mengikut statistik SPR, 1,784,843 pengundi terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan serta 12,729 anggota polis berserta pasangan, layak menjalankan tanggungjawab pada PRN kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov sebagai hari pengundian, manakala undi awal pada 25 Nov. -BERNAMA

SITI NOORAIN ABDULLAH