fb fb fb fb fb

PMSN dimasyhur, sasar jadi Pusat Kecemerlangan TVET Maritim Pantai Barat

Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah/BERNAMA

BAGAN DATUK, 20 November – Pemasyhuran Politeknik Bagan Datuk sebagai Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah (PMSN) diharap dapat mengukuhkan peranan institusi itu sebagai Pusat Kecemerlangan TVET Maritim di Pantai Barat, sekali gus memperkasa pembangunan tenaga kerja mahir dalam sektor maritim negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata PMSN berpotensi melahirkan tenaga profesional maritim yang menjadi kebanggaan negeri Perak serta Malaysia.

Beliau yakin PMSN mampu muncul sebagai pusat pendidikan tinggi terunggul dan pemangkin kepada pembangunan teknologi maritim berdaya global.

2011 PRK TPM POLITEKNIK 2Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan Menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Politeknik MARITIM Sultan Nazrin Shah hari ini/BERNAMA

Kedudukan strategik Bagan Datuk, katanya, memberi kelebihan besar untuk dimajukan sebagai hab perikanan laut dalam dan pusat latihan maritim, selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, patik melihat usaha ini selaras dengan Dasar TVET Negara 2030 menerusi pelbagai inisiatif termasuk penyelarasan kurikulum, penambahbaikan pengiktirafan industri dan pengembangan Program TVET High Growth High Value bagi membuka laluan kerjaya berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembah ucapan pada Majlis Pemasyhuran PMSN di Bagan Datuk yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini.

TVET maritim, jelas beliau, turut membuka peluang kepada generasi muda untuk menguasai kemahiran dalam kejuruteraan marin, automasi kapal serta penyelidikan tenaga laut boleh diperbaharui.

PMSN yang dibangunkan dengan kos RM175 juta merupakan satu-satunya politeknik TVET di negara ini yang memfokuskan bidang maritim dan perkapalan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN