KUALA LUMPUR, 22 Oktober- Kerajaan Sarawak tidak berhasrat menubuhkan syarikat penerbangan berskala besar.
Sebaliknya cadangan penubuhan syarikat penerbangan milik kerajaan negeri itu bertujuan memenuhi keperluan melibatkan laluan dalam wilayah.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Zohari Tun Openg menegaskan pihaknya juga akan memastikan kadar tambang tidak akan membebankan pengguna apabila beroperasi kelak.
"Kita tidak mahu menubuhkan syarikat penerbangan yang besar. Kita mahu yang skala kecil sahaja untuk kita menubuhkan 'regional airline' dan beri kadar tambang yang setimpal supaya tidak membebankan anak-anak kita,"katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi townhall sempena program Lan Berambeh Anak Sarawak berlangsung di ibu negara.
Kerajaan Sarawak kini sedang dalam proses pengambilalihan pengoperasian daripada MASwings Sdn Bhd untuk mengendalikan perkhidmatan udara luar bandar (RAS).
(FOTO HIASAN)