fb fb fb fb fb

Sarawak tetap jadi keutamaan -PM

(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi taklimat ringkas mengenai projek
Pan Borneo Fasa Selangau pada majlis perasmian projek berkenaan/BERNAMA)


SELANGAU, 14 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan Sarawak akan tetap menjadi keutamaannya selagi beliau menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata keutamaan itu mengambil kira soal peruntukan yang akan disalurkan kepada Bumi Kenyalang yang masih memerlukan banyak bantuan dari segi peruntukan untuk pembangunannya.

"Dari segi komitmen untuk menjaga Sarawak ini, tiada tolok bandingnya dengan kerajaan Barisan Nasional, kitalah yang menjaga kepentingan Sarawak," katanya.

Tambahnya, kabinet pimpinannya sebelum PRU15 telah mengambil keputusan untuk menyambung semula projek persekutuan yang diberhentikan sebelum ini.

"Kita akan teruskan projek yang tertangguh atau tidak diteruskan dengan mengambil contoh projek Seksyen Selangau bawah projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa Kedua.

"Projek pembangunan besar lain yang akan disambung semula oleh kerajaan pimpinan saya turut melibatkan projek jalan raya Trans-Borneo melalui Brunei dan projek Sabah-Sarawak Link Road yang tidak melalui negara itu," katanya.

(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail hadir pada majlis perasmian Lebuhraya Pan Borneo
Sarawak Seksyen Selangau WPC08/BERNAMA)

Ismail Sabri berkata bantuan untuk Sarawak memperbaiki infrastruktur sekolah daif dan klinik-klinik desa di negeri itu juga akan diteruskan.

Selain itu katanya turut diteruskan termasuk penetapan sasaran bagi keseluruhan Sarawak mendapat capaian internet dalam tempoh dua tahun.

Bagi membolehkan perancangan diteruskan, Ismail Sabri berharap rakyat di Sarawak akan dapat memberikan sokongan penuh dengan memastikan mereka membuat pilihan yang bijak semasa PRU15.

“Kerajaan dipilih mestilah yang bertanggungjawab, bukan yang membatalkan projek. Jangan tersalah pilihan kerana yang merana adalah kita. Buatlah keputusan yang tepat dalam PRU15 ini untuk  membentuk kerajaan yang dapat membantu Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Projek Seksyen Selangau untuk Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak di sini.

Turut hadir, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar dan beberapa menteri Kabinet Sarawak.

Media Baharu