fb fb fb fb fb

Wanita maut, enam ahli keluarga cedera nahas kemalangan di R&R Sungai Buloh

PETALING JAYA, 14 November- Seorang wanita berusia 38 tahun maut, selepas kereta yang dinaiki bersama suami dan lima orang anaknya merempuh belakang sebuah lori treler berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Restoran Jejantas Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), pagi tadi.

Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord yang dinaiki tujuh sekeluarga telah melanggar bahagian belakang sebuah lori treler.

Menurut Ketua Polis daerah Petaling Jaya, Acp Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik IPD Petaling Jaya telah menerima satu laporan polis berkenaan kemalangan jalan raya di Lebuhraya PLUS dari arah utara hala Jalan Duta Kuala Lumpur (selepas restoran jejantas Sg. Buloh) yang berlaku pada jam lebih kurang 5.55 pagi.


(Foto Ihsan IPD Petaling Jaya) 

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Honda Accord yang dinaiki sepasang suami isteri dan lima orang anak dalam perjalanan dari arah utara hendak pulang ke rumah di Kuala Lumpur.

"Ketika sampai di lokasi kejadian, secara tiba-tiba kereta tersebut telah melanggar bahagian belakang lori yang sedang bergerak perlahan di lorong sebelah kiri," katanya.

Sementara itu, Fakhrudin memohon saksi kemalangan untuk tampil beri keterangan.

"Kepada sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Rina Murniza Ibrahim di talian 013-9738580 bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Sg. Buloh untuk menerima rawatan lanjut.

Siasatan diteruskan dibawah seksyen 41 akta pengangkutan jalan (APJ) 1987.

Media Baharu