BINTULU, 16 September - Sarawak juga bersedia memainkan peranan sebagai pintu masuk strategik ke rantau Borneo dan Asia Tenggara, bukan sahaja dalam bidang ekonomi tetapi turut merangkumi aspek budaya, pendidikan dan kerjasama serantau.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, selain itu Sarawak juga menyatakan komitmen untuk memperluas bekalan tenaga ke negara jiran, sekali gus memperteguh peranan Sarawak sebagai 'Battery of ASEAN'.
"Dengan kekuatan industri tenaga yang telah dibangunkan, Sarawak akan terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia, khususnya melalui pembangunan ekonomi baharu dalam rantaian industri bernilai tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak di Lapangan Terbang Lama Bintulu, di sini.
Majlis itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan dihadiri lebih 10,000 pengunjung.
Dalam pada itu, Tan Sri Abang Johari turut berpuas hati atas pengiktirafan dunia ke atas Bintulu dipilih sebagai Peralihan Kluster Perindustrian (TIC) yang merupakan lokasi pertama di Malaysia.
Beliau berkata pemilihan tersebut menempatkan Sarawak sebaris dengan kluster industri global dalam usaha membangunkan teknologi rendah karbon dan lestari.
"Dengan asas yang kukuh ini, Sarawak kini beraspirasi untuk terus memperkasakan kedudukannya sebagai hab petrokimia utama di Asia, sekali gus menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri dan negara pada masa hadapan," katanya lagi.
Dalam tempoh lapan bulan, Sarawak berjaya mengeksport sebanyak 500,000 metrik ton methanol atau lebih dari 60 kargo ke pelbagai destinasi antarabangsa.