fb fb fb fb fb

Bersatu padu kunci kekuatan negara berdaulat - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucaptama pada sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena. / Foto BERNAMA

BUTTERWORTH, 16 September - Malaysia sebagai negara berdaulat dan merdeka harus bersatu padu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan, kesatuan itu penting bagi membanteras unsur kebencian serta prasangka antara kaum, agama dan wilayah yang boleh menggugat kesejahteraan negara.

Menurutnya, kekuatan itu mampu menjamin kesejahteraan rakyat serta kelancaran sistem ekonomi negara.

“Mesti menentukan bahawa sikap pelampau sama ada kaum, atau fanatik agama, atau suku kaum dan faham wilayah sempit, mesti dibanteras. Untuk menjamin kelangsungan hidup negara yang berdaulat dan merdeka.

Dan kedua, cabaran kepada pimpinan. Memastikan ekonomi kita lancar. Supaya peel yang dilakukan oleh penjajah, yang menyebabkan negara miskin, negara diperkotakan, katakan dapat diselamatkan. Dengan agenda perubahan ekonomi, yang lebih lancar dan lebih tenang. Yang harus menjamin keselesaan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, di sini.

Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib bersama isteri, Toh Puan Raja Nora Ashikin Raja Abdullah.

Sambutan bermula seawal 8.30 malam itu diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan merangkumi lima segmen utama yang menampilkan identiti serta warisan Melayu, Cina, India, dan Bumiputera Sabah serta Sarawak.

Pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah adalah selaras keputusan Jemaah Menteri pada 24 Jun 2020, yang menetapkan sambutan Hari Malaysia diadakan secara bergilir di seluruh negeri.

Majlis turut menyaksikan acara menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI