fb fb fb fb fb

Sarawak sasar negeri kedua tertinggi dalam KDNK

Abang Johari Tun Openg

KUCHING 29 April- Sarawak menyasarkan untuk menjadi negeri kedua tertinggi dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebelum Pilihan Raya Negeri akan datang. 

Jelas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sasaran tersebut berdasarkan sumber yang ada pada Sarawak dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

"Dapat atau tidak sasaran tersebut, terpulang kepada kerajaan negeri untuk mengatur strategi pengurusan ekonomi dengan baik dengan memberikan motivasi yang tinggi menerusi KDNK," katanya kepada pemberita dalam ucapannya semasa Ramah Tamah Aidilfitri Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) 2024 di sini.

Ketika ini, Abang Johari berkata Sarawak telah mencapai tangga ketiga penyumbang terbesar kepada ekonomi negara selepas Kuala Lumpur dan Selangor. 

Tambahnya, pendapatan Sarawak dijangka bertambah terutama dengan adanya pelaburan ekonomi hijau yang akan dilaksanakan. 

Dalam pada itu, bercakap mengenai PBB, sebagai presiden, Abang Johari menasihatkan agar parti dapat melatih pimpinan muda sama ada daripada sayap Bumiputera atau Pesaka bagi kekal relevan dengan perubahan semasa. 

Tegasnya, PBB perlu kekal bersatu serta mengelak pertelingkahan dalaman untuk meneruskan kejayaan yang telah dikecapi selama ini. 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM