KUCHING, 15 Disember- Paus Sei atau nama saintifiknya Balaenoptera borealis telah dikenal pasti sebagai spesies paus yang ditemukan mati di Batang Lupar, Sri Aman, Sarawak tiga minggu lalu.
Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC), Abang Arabi Abang Aimran mengesahkan pengenalpastian itu melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan oleh Seksyen Forensik dan Sumber Genetik di Bahagian Penyelidikan dan Pemuliharaan Biodiversiti SFC dengan rujukan kepada National Center for Biotechnology Information.
Bangkai paus tersebut pertama kali dilaporkan pada 19 November berhampiran Pulau Seduku oleh penduduk tempatan melalui media sosial.
Pasukan SFC menemui bangkai itu, yang sudah reput teruk, tersangkut di batang besi berhampiran tapak pembinaan Jambatan Triso, empat hari kemudian.
Abang Arabi menyatakan bahawa ia merupakan rekod pertama kehadiran Paus Sei di perairan Sarawak.
Spesies paus besar lain yang pernah direkodkan termasuk Paus Bryde's, Paus Sperm, Paus Fin, Paus Minke dan Paus Humpback.
"Penambahan spesies ini menjadikan jumlah keseluruhan mamalia marin yang direkodkan di pesisir dan perairan laut Sarawak kepada 25 spesies," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa kepelbagaian spesies mamalia marin yang tinggi mencerminkan kesihatan dan keadaan semula jadi persekitaran laut Sarawak yang masih terpelihara.