BEDONG, KEDAH, 15 Disember- Barisan Nasional (BN) Kedah mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya mewujudkan jawatan penyelaras di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah bagi memastikan agenda dan projek pembangunan yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dapat disalurkan terus kepada rakyat.
Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata cadangan itu merupakan salah satu usul yang dibahaskan sempena Konvensyen BN Kedah yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, di sebuah universiti swasta di sini semalam.
Menurut beliau, kepimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri dan bahagian boleh bekerjasama dengan ICU untuk menyelaras segala perancangan pembangunan di kawasan masing-masing.
"Walaupun kita bukan wakil rakyat, kita masih sebahagian daripada kerajaan yang memiliki bajet Persekutuan. Bajet ini boleh membantu rakyat di semua daerah, sama ada melibatkan nelayan, pesawah padi, penoreh getah, kelapa sawit, kontraktor kecil atau besar, kakitangan kerajaan, mahupun pekerja kilang di Selatan Kedah," katanya.
Ketika ini, peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan melalui kementerian-kementerian disalurkan kepada Kerajaan Negeri menerusi Pejabat Daerah.