fb fb fb fb fb

Mayat kanak-kanak lemas di Pantai Kandis ditemukan

Jenazah Muhd Naufal Arshad Muhd Aiman Hafiz (foto kecil) diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut/RTM

BACHOK, 15 Disember- Mayat seorang kanak-kanak lelaki, Muhd Naufal Arshad Muhd Aiman Hafiz, 8, yang dikhuatiri lemas di Pantai Kandis di sini petang semalam telah ditemukan pagi ini.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Khairul Arifin Che Ramli berkata mayat mangsa ditemukan penduduk kampung di pesisir Pantai Pok, Pulau Kambing kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 11.15 pagi.

"Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 14 anggota termasuk enam pasukan penyelamat di air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP0 Pengkalan Chepa. Namun, keadaan ombak besar dan laut bergelora menyukarkan penggunaan bot serta operasi skuba," katanya.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk tindakan lanjut.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika berkunjung ke pantai terutama pada musim tengkujuh dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Semalam, media melaporkan bahawa Muhd Naufal dipercayai terjatuh ketika bermain di kawasan benteng batu di pantai itu pada pukul 6.40 petang.

SITI AISHAH MD ISA