KUALA LUMPUR, 15 Disember- Pengusaha feri yang menaikkan kadar tambang feri tidak layak menerima subsidi diesel, demikian dinyatakan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Beliau menerusi satu hantaran Facebook memaklumkan kementerian itu baru mendapat kelulusan prinsip dari Kementerian Kewangan pada Jumaat untuk pemberian sibsidi diesel kepada pengusaha-pengusaha feri di pulau-pulau utama di seluruh negara termasuk Langkawi bermulai 1 Januari 2025.
"Saya amat kesal dengan tindakan terburu-buru pengusaha feri Langkawi membuat pengumuman menaikkan kadar tambang feri pada hari ini.
"Saya memberi amaran kepada mana-mana pengusaha feri bahawa mereka tidak akan layak menerima subsidi diesel sekiranya mereka meneruskan tindakan menaikkan kadar tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik," katanya.
Dalam pada itu beliau mahu semua pengusaha menarik balik pengumuman berkenaan serta merta dan berunding dengan pihak Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat.