fb fb fb fb fb

Kerajaan pantau 11 "projek sakit" di Sarawak

Mesyuarat Khas Penyelarasan Pemantauan Program/Projek Pembangunan Negeri Sarawak tahun 2024 di Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Kota Samarahan

KOTA SAMARAHAN, 15 November- Sebanyak 11 projek dalam pelaksanaan di Sarawak dikategorikan sebagai 'projek sakit'.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata 45 peratus adalah disebabkan masalah di peringkat kontraktor yang tidak dapat menyiapkan projek tersebut.

"Sama ada banyak masalah yang mereka hadapi atau ketidakmampuan dari segi kewangan dan sebagainya.

"Ini juga terpaksa kita batalkan dan secara tidak langsung menyumbang kepada kelewatan projek tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Pemantauan Program/Projek Pembangunan Negeri Sarawak tahun 2024 di Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, antara punca lain projek sakit itu turut melibatkan pelaksanaan, reka bentuk dan utiliti.

Beberapa projek sakit berkenaan termasuk projek yang sedang dibangunkan bawah Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Dalam mesyuarat tersebut pihaknya memutuskan agar agensi kerajaan persekutuan membantu di peringkat negeri bagi menyelesaikan projek-projek di Sarawak.

Mesyuarat julung kali diadakan di Sarawak adalah bagi mendapatkan laporan berkenaan semua projek telah diluluskan agar dapat disiapkan mengikut jadual.

Dalam pada itu projek persekutuan yang kini di peringkat pelaksanaan dan memerlukan kos tambahan akan dinilai semula, khususnya projek yang diluluskan pada 2019 namun tertangguh akibat pandemik COVID-19.

Fadillah berkata pemantauan projek diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) akan dilakukan.

Kerajaan juga berkemungkinan akan menangguhkan pelaksanaan projek yang belum dapat disempurnakan sehingga ke RMK seterusnya.

"Koordinasi ini yang cuba kita dapatkan supaya komitmen kerjaan tidak terganggu berikutan penangguhan projek, supaya kita boleh menentukan perancangan seterusnya.

"Apa yang pasti, duit yang diluluskan pasti dibelanjakan, jadi perkembangan terkini sesuatu projek adalah penting. Supaya kita tahu berapa jumlah yang telah dibelanjakan dan berapa lagi baki yang masih tinggal," katanya.

Mesyuarat turut dimaklumkan berkenaan terdapat projek yang terpaksa dirujuk kepada jawatankuasa kerana ada yanga telah ditamatkan kontrak dan ditender semula selain perlu melantik kontraktor penyelamat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI