fb fb fb fb fb

Resolusi Konvensyen BN P. Pinang wujud Yayasan ASEAN dibawa untuk pertimbangan PM

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

BUTTERWORTH, 15 Disember- Resolusi Konvensyen Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang 2024 untuk mewujudkan Yayasan ASEAN atau ASEAN Foundation akan dibawa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pertimbangan lanjut.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN berkata yayasan itu berpotensi menjadi entiti yang membantu menangani pelbagai isu serantau seperti bencana alam dan kesihatan termasuk pemindahan organ.

Yayasan itu akan menguruskan hal-hal berkaitan pemindahan organ dari segi dana atau penyertaan negara ahli untuk menderma organ, bagi tujuan kepentingan bersama anggota ASEAN.

Selain memudahkan sebarang bentuk bantuan dapat dihulurkan secara terus tanpa mengharapkan dana dari negara yang terjejas dengan kadar segera.

"Resolusi dicadangkan ialah untuk mewujudkan atau membentuk sebuah Yayasan ASEAN atau ASEAN Foundation bertujuan supaya dana dapat dikumpulkan.

"Pertamanya bagi menangani permasalahan bencana alam dialami negara-negara dalam ASEAN yang tidak memerlukan peruntukan cara terus daripada negara-negara berkenaan tetapi sebaliknya menggunakan dana daripada dana ASEAN Foundation ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen BN Pulau Pinang 2024 di sini.

Terdahulu, Konvensyen BN Pulau Pinang 2024 yang dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan sebulat suara meluluskan resolusi untuk mewujudkan Yayasan ASEAN.

Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025 dan ia berupaya menjadi tonggak utama dalam pergerakan perdagangan, ekonomi dan hala tuju rantau ASEAN secara kolektif.

Sebelum ini Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI