KUALA TERENGGANU, 15 Disember- Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan bahawa tindakannya meletak jawatan sebagai Bendahari Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini adalah sebahagian daripada langkah memperkukuh parti itu.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS menafikan dakwaan bahawa peletakan jawatan tersebut berpunca daripada keretakan dalaman PN.
Tegasnya, tindakan itu tidak mempunyai kaitan dengan keputusan Parti Progresif Sabah (SAPP) yang keluar daripada PN baru-baru ini.
"Itu isu berasingan, tiada kaitan dengan apa yang berlaku di Sabah. Di Semenanjung, tiada keretakan seperti yang didakwa. Kita sedang mencari langkah terbaik untuk memperkukuhkan PN agar menjadi muafakat politik yang lebih kukuh, khususnya menjelang pilihan raya dalam tempoh dua tahun lagi," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Imaratul Ilmi kelima, Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man di sini hari ini.