fb fb fb fb fb

Sarawak lancar kempen anti-vandalisme berskala besar

Foto RTM

KUCHING, 26 April - Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bakal melancarkan Kempen untuk Mencegah Vandalisme Aset Utilti dan Telekomunikasi.

Menterinya Dato Sri Julaihi Narawi berkata pelancaran kempen itu dijangka akan diadakan pada pertengahan tahun ini.

Ujarnya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijadual akan merasmikan kempen tersebut di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Jun atau Julai depan.

Tambahnya lagi, acara ini bakal menarik penyertaan kira-kira 3,000 peserta bagi membincangkan isu vandalisme yang melibatkan kerosakan kemudahan peralatan yang dimiliki agensi di bawah seliaan kementeriannya.

“Kita juga tahu bahawa ada juga kerosakan yang berlaku dan terutama sekali aset-aset milik pihak awam.

"Jadi oleh kerana kerosakan ini melibatkan keresahan masyarakat awam dan juga melibatkan gangguan kepada kemudahan yang diperlukan oleh pihak awam, terutama sekali aset-aset yang dikendalikan oleh agensi-agensi kami, maka kami merasakan bahawa kempen secara besar-besaran ini memang wajar dilakukan", katanya demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kes Vandalisme Aset Utiliti dan Telekomunikasi di Lembaga Pembangunan dan Perlindungan Tanah LCDA Menara Pelita Jalan Bako di sini.

Menurutnya, kempen serupa pernah diadakan di beberapa buah sekolah pada tahun lepas dengan kerjasama Jabatan Pendidikan untuk memberi kesedaran kepada pelajar tentang kerosakan disebabkan vandalisme.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD